Virus ni semakin mengancam manusia di seluruh dunia. Pakar Kesihatan WHO mengatakan virus ini seolah-olah tak dapat dihentikan dan cara penyebaran yang mudah menyebabkan ia pantas mengembangkan kawasan liputannya. Dan, vaksinnya pula hanya akan didapati hujung tahun ini. Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah besar wang untuk memastikan vaksin ini sampai ke negara ini bagi menyelamatkan mereka yang masih boleh diselamatkan.

Namun, kesedaran di kalangan masyarakat kita masih berada di tahap membimbangkan. Kenapa saya cakap macam ni? Sebab, di sebalik peringatan-peringatan dalam iklan-iklan di media massa, virus ini terus merebak dengan begitu pantas di kalangan masyarakat kita.

Langkah-langkah pencegahan tidak diambil, kalau diambil pun, ia tidak betul. Dan bagi yang baru sahaja pulang dari luar negara, walaupun tidak menunjukkan tanda-tanda penyakit seperti H1N1, mereka patut ambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan sendiri kuarantin di rumah. Apatah lagi kalau mereka ada selsema, walaupun tidak serius, mereka tak sepatutnya lupa untuk melakukan langkah pencegahan awal. Mereka bukan sahaja akan selamatkan diri dan keluarga mereka, bahkan juga masyarakat sekeliling.

Saya tahu, mungkin ramai yang sudah tahu langkah pencegahan ini. Tapi saya rasa bertanggungjawab juga nak beritahu anda, apa yang boleh kita buat untuk elak virus H1N1 terus merebak.

Jika anda bakal mengunjungi negara yang dilanda H1N1, seboleh-bolehnya tangguhkanlah perjalanan anda. Kalau tak boleh tangguh, sila ambil langkah berikut :

1. Ketahui kawasan yang mengalami kes H1N1 yang paling tinggi.

2. Elak melawat kawasan yang sesak.

3. Elak bersentuhan dengan pesakit H1N1. Tapi kalau perlu juga, pakailah alat pernafasan yang sesuai.

4. Jaga kebersihan diri. Basuh tangan dengan air dan sabun setiap masa terutama selepas batuk dan bersin.

5. Guna tisu atau saputangan ketika batuk atau bersin dan buang tisu terus ke dalam tong sampah.

6. Kalau ada simptom-simptom H1N1, terus dapatkan rawatan. Jangan bertangguh.

Dan, kalau anda baru sahaja pulang dari negara yang dilanda H1N1, sila :

1. Elak berdampingan dengan orang lain selama 7 hari.

2. Segera dapatkan rawatan doktor sekiranya anda demam dan mengalami salah satu gejala berikut : batuk, sesak nafas, sakit tekak, sakit kepala atau sakit badan.

3. Maklumkan juga kepada doktor yang merawat anda yang anda baru sahaja pulang dari negara yang dilanda H1N1.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pihaknya bimbang virus berkenaan akan merebak dengan serius pada musim tengkujuh kerana hujan berterusan memudahkan orang ramai, terutama kanak-kanak mendapat selesema.

"Kita khuatir komplikasi (selesema) itu kemudian akan bercampur dengan virus H1N1. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) beberapa hari lalu juga sudah mengingatkan semua negara supaya mengambil langkah sewajarnya bagi menghadapi gelombang kedua H1N1.

"Kita memantau keadaan H1N1 secara serius. Jika kita kesan berlaku gelombang kedua, kementerian akan membuat pengumuman awal supaya rakyat dapat mengambil langkah berjaga-jaga," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Penjagaan Kesihatan Asia 2009 di sini, semalam.